Rakun ‘mabuk’ pecah masuk kedai arak, pengsan dalam tandas

WASHINGTON, 4 Disember – Seekor rakun menjadi ‘suspek’ dalam satu kejadian pecah masuk ke sebuah kedai arak di negeri Virginia, Amerika Syarikat selepas didapati merosakkan beberapa rak dan akhirnya pengsan di dalam tandas premis berkenaan dalam keadaan dipercayai mabuk.

Bagaimanapun, ‘pelaku’ kejadian itu dilepaskan tanpa sebarang tindakan selepas berehat dan kembali sedar beberapa jam kemudian sebelum dibebaskan semula ke habitat liar.

Menurut Hanover County Animal Protection and Shelter, rakun tersebut memecah masuk ke Ashland ABC Store semasa hujung minggu sambutan Thanksgiving.

Seorang pegawai perlindungan haiwan dipanggil ke lokasi pada pagi Sabtu sebelum menemui rakun itu telah menggeledah beberapa rak dan pengsan di dalam bilik air kedai berkenaan.

Beberapa gambar yang dikongsi menunjukkan lorong kedai dipenuhi botol pecah, manakala rakun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas lantai berhampiran tandas.

“Selepas beberapa jam tidur dan tiada sebarang tanda kecederaan (selain kemungkinan pening kepala dan ‘keputusan hidup yang kurang bijak’), ia dilepaskan dengan selamat ke alam liar, diharapkan ia belajar bahawa memecah masuk bukanlah jawapannya,” menurut kenyataan perlindungan haiwan itu di Facebook.

Seorang pengguna media sosial, Tom Wright, berseloroh, “Orang mabuk yang baik biasanya akan pengsan dekat tandas.”

Rakun sememangnya terkenal dengan kaki yang cekap untuk memegang objek dan merupakan haiwan asli Amerika Utara. Ia bersifat nokturnal serta sering menggeledah tong sampah dan kawasan sekitar bagi mencari sumber makanan.-AFP

Hey there! Ask me anything!