Ratusan warga China terlibat penipuan dalam talian ditahan di Myanmar

MYAWADDY, 22 November – Ratusan warga China ditahan dalam satu operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia di sebuah kompleks di Myawaddy, Myanmar.

Menerusi rakaman dikongsi MRTV, bangunan dalam kawasan berkenaan diletupkan dan dirobohkan dengan bantuan jentera berat manakala ratusan warga asing ditahan oleh pihak berkuasa.

Kegiatan penipuan dalam talian di kawasan sempadan Thailand–Myanmar itu merupakan sebahagian rangkaian jenayah rentas negara di Asia Tenggara, termasuk Myanmar dan Kemboja, yang dianggarkan menjana berbilion dolar setahun melalui penipuan dan eksploitasi mangsa pemerdagangan manusia.

Pada Isnin lalu, media kerajaan Myanmar melaporkan ketua junta, Min Aung Hlaing, mengarahkan tentera membanteras pusat-pusat penipuan sebagai tanggungjawab nasional.

Sehari selepas itu, anggota tentera Myanmar bersama Tentera Nasional Karen (KNA) memulakan operasi sekitar Myawaddy, yang dikenal pasti sebagai pusat kegiatan terbabit.

Setakat Jumaat, lebih 180 bangunan di kawasan berkenaan telah dirobohkan, manakala lebih 1,000 warga asing ditahan.

Turut dirampas, lebih 2,600 komputer serta lebih 21,000 telefon bimbit. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!