Ribuan sertai protes di Giessen, tolak penubuhan sayap belia AfD

GIESSEN, 29 November- Polis Jerman bertempur dengan kumpulan penunjuk perasaan di bandar universiti Giessen, utara Frankfurt selepas protes besar-besaran dilancarkan bagi menghalang penubuhan sebuah pertubuhan belia baharu iaitu Alternative for Germany (AfD).

AfD, yang diklasifikasikan sebagai “ekstremis” oleh agensi perisikan Jerman pada Mei lalu, dijangka memilih kepimpinan baharu bagi sayap belianya pada perhimpunan berkenaan.

Laporan media tempatan menjangkakan sehingga 50,000 penentang AfD akan berhimpun di Giessen, manakala polis memaklumkan sekitar 6,000 anggota dari seluruh negara telah dikerahkan bagi mengawal keadaan.

Kekecohan tercetus apabila penunjuk perasaan menyekat sebuah jambatan lebuh raya menuju lokasi acara AfD sebelum berlaku pergelutan dengan polis.

Beberapa pertubuhan termasuk kesatuan sekerja berpengaruh, DGB serta parti pembangkang kiri, Die Linke turut menggerakkan penyokong mereka untuk menyertai demonstrasi balas.

Sayap belia AfD sebelum ini dibubarkan pada musim bunga lalu selepas penilaian agensi perisikan mendapati kumpulan itu sebagai “ekstremis kanan yang disahkan”.

Menurut tinjauan “Polit Barometer” terbitan penyiar awam ZDF, sokongan terhadap AfD di peringkat nasional berada pada paras 27 peratus, setakat 21 November. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!