Rundingan Gaza pada saat genting, gencatan senjata belum selesai

DOHA, 7 Disember – Rundingan untuk mengukuhkan gencatan senjata di Gaza berada pada tahap “kritikal,” kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, pada Sabtu.

Menurut Al-Thani, pihak mediator kini sedang berusaha memungkinkan pelan damai yang disokong Amerika Syarikat (AS) tersebut memasuki fasa seterusnya.

Ketika bercakap dalam satu panel di Forum Doha, beliau menegaskan walaupun keganasan telah berkurangan sejak gencatan berkuat kuasa pada 10 Oktober, ia masih tidak berhenti sepenuhnya, dengan sekurang-kurangnya tujuh kematian dilaporkan pada Sabtu.

“Kami berada pada saat yang kritikal. Ia belum sampai ke tahap yang kita mahu. Apa yang kita ada sekarang hanyalah jeda.

“Kita belum boleh menganggapnya sebagai gencatan senjata sepenuhnya. Gencatan itu hanya lengkap apabila terdapat pengunduran penuh tentera Israel, apabila wujud kembali kestabilan di Gaza dan orang ramai bebas keluar masuk, sesuatu yang belum berlaku hari ini,” ” katanya.

Ketika ini, rundingan mengenai fasa kedua pelan Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza masih berlangsung.

Pada Khamis, satu delegasi Israel mengadakan perbincangan di Kaherah bersama mediator berhubung pemulangan tebusan terakhir yang masih ditahan di Gaza, langkah penting yang akan melengkapkan fasa awal pelan Trump tersebut.

Sejak gencatan bermula, Hamas telah memulangkan 20 tebusan yang masih hidup serta 27 mayat, sebagai pertukaran bagi pembebasan sekitar 2,000 tahanan dan banduan Palestin.

Israel berkata minggu ini bahawa lintasan Rafah akan dibuka bagi pergerakan keluar ke Mesir tidak lama lagi dan kemasukan melalui Rafah ke Gaza akan dibenarkan sebaik sahaja mayat tebusan terakhir dipulangkan.

Pelan Trump turut merangkumi pembentukan kerajaan teknokrat sementara Palestin di Gaza yang akan dipantau oleh sebuah “lembaga keamanan” antarabangsa dan disokong oleh pasukan keselamatan antarabangsa. Persetujuan mengenai komposisi dan mandat pasukan itu dilaporkan menjadi cabaran utama.

Walaupun pertempuran telah berkurangan, Israel terus menyerang Gaza dan merobohkan apa yang didakwanya sebagai infrastruktur Hamas.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata tembakan Israel telah membunuh tujuh orang di Beit Lahiya, Jabalia dan Zeitoun di utara Gaza pada Sabtu, termasuk seorang wanita berusia 70 tahun yang maut akibat serangan dron.-REUTERS

Hey there! Ask me anything!