Sri Lanka perlu hingga $7 Bilion untuk pulih dari kemusnahan Taufan Ditwah

COLOMBO, 3 Disember – Sri Lanka memerlukan sehingga $7 bilion untuk membina semula rumah, industri dan jalan raya yang musnah akibat Taufan Ditwah, yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 465 nyawa.

Harapan semakin tipis bagi 366 lagi mangsa yang masih hilang selepas kejadian tanah runtuh dan banjir besar yang dicetuskan oleh taufan yang membawa rekod hujan lebat ke seluruh negara minggu lalu.

“Anggaran awal kami menunjukkan kira-kira enam hingga tujuh bilion dolar diperlukan bagi usaha pemulihan,” kata Prabath Chandrakeerthi, Pesuruhjaya Perkhidmatan Asas yang mengetuai operasi pemulihan negara itu.

Beliau berkata kerajaan menyediakan 25,000 rupee (kira-kira RM380) kepada setiap keluarga untuk membersihkan kediaman mereka, manakala keluarga yang kehilangan rumah bakal menerima sehingga 2.5 juta rupee (RM31,000).

Presiden Anura Kumara Dissanayake menegaskan bantuan antarabangsa sangat penting untuk membiayai pemulihan, memandangkan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi terburuk yang melanda tiga tahun lalu.

“Kita baru sahaja keluar daripada krisis ekonomi apabila kita dilanda bencana terbesar yang pernah ditanggung mana-mana kerajaan.” kata Dissanayake, yang mengisytiharkan darurat pada Sabtu.

Sri Lanka mengisytiharkan gagal bayar hutang luar berjumlah $46 bilion pada April 2022 selepas kehabisan rizab mata wang asing untuk mengimport makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Negara itu memperoleh pinjaman $2.9 bilion daripada IMF, yang menyatakan ekonomi telah stabil tetapi kerajaan perlu meneruskan pembaharuan termasuk langkah penjimatan.

Krisis 2022 itu mencetuskan protes besar-besaran yang menumbangkan bekas presiden Gotabaya Rajapaksa.- AFP

Hey there! Ask me anything!