Tamil Nadu siap sedia hadapi Taufan Ditwah

CHENNAI, 30 November – Hujan lebat melanda negeri Tamil Nadu di tenggara India pada Sabtu (29 November), dengan pihak berkuasa menempatkan pasukan penyelamat di kawasan pesisir, berikutan jangkaan Taufan Ditwah yang sebelum ini melanda Sri Lanka.

Menurut Jabatan Meteorologi India, taufan tersebut dijangka sampai ke Teluk Bengal pada Ahad (30 November).

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 153 orang terkorban di Sri Lanka akibat tanah runtuh dan banjir yang berpunca daripada Taufan Ditwah, manakala 191 lagi dilaporkan hilang dan lebih setengah juta orang terjejas di seluruh negara.

Suruhanjaya Tinggi India di Colombo melaporkan, India turut menghantar bantuan makanan sebanyak 6.5 tan metrik bagi menyokong usaha bantuan kecemasan, ketika taufan itu bergerak melintasi Sri Lanka ke selatan India.

Timbalan Inspektor Jeneral Pasukan Tindak Balas Bencana Negara, Mohsen Shahedi, berkata, 14 pasukan telah ditempatkan di kawasan berisiko terjejas.

“Di Tamil Nadu, setakat ini, kami telah menempatkan empat belas pasukan, kebanyakannya di kawasan pesisir. Memandangkan keadaan semasa, sebagai langkah berjaga-jaga, sepuluh lagi pasukan telah diminta Tamil Nadu.

“Pasukan tersebut sedang dibawa naik udara dari Pune dan Vadodara. Mereka dijangka tiba tidak lama lagi dan akan dikerahkan mengikut keperluan,” katanya. REUTERS

Hey there! Ask me anything!