Tarif jejas hampir 20% import global – WTO

SWITZERLAND, 5 Disember – Hampir satu perlima atau 19.7 peratus daripada import dunia kini terjejas oleh pelaksanaan tarif dan sekatan seumpamanya berbanding hanya 12.6 peratus setahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang dikeluarkan minggu ini.

Laporan itu menunjukkan, nilai import barangan global yang terjejas oleh pelaksanaan tarif baharu dan langkah-langkah import lain meningkat lebih empat kali ganda dari pertengahan Oktober 2024 hingga pertengahan Oktober 2025 berbanding tempoh 12 bulan sebelumnya – tertinggi dalam lebih 15 tahun pemantauan perdagangan WTO.

Dalam satu mesyuarat rasmi Badan Semakan Dasar Perdagangan WTO, Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala memberi amaran bahawa sistem perdagangan global sedang menghadapi pergolakan paling serius dalam tempoh 80 tahun.

Amaran itu diberikan sambil merujuk kepada peningkatan ketara dalam tindakan tarif sehala, ketegangan geopolitik yang semakin memuncak dan peningkatan konflik serantau.

Menurut beliau, meskipun berdepan cabaran ini, sistem perdagangan pelbagai hala telah menunjukkan ketahanan yang ketara dengan kira-kira 72 peratus perdagangan global masih dijalankan berdasarkan dasar Layanan Negara Terbaik (MFN).

WTO akan memantau dengan rapi perkembangan dalam langkah tarif dan akan membuat penilaian baharu terhadap bahagian perdagangan MFN dalam minggu-minggu akan datang, katanya. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!