Taufan Fung-wong mengganas, lebih 100,000 penduduk Filipina dipindahkan

MANILA, 9 November– Taufan Super Fung-wong telah meningkat kekuatannya pada Ahad (9 November) menjelang ketibaannya di Filipina lewat hari ini, membawa ancaman hujan lebat, angin pemusnah dan ombak besar.

Taufan yang dikenali di peringkat tempatan sebagai Uwan itu diramalkan membadai daratan seawal malam Ahad di wilayah Aurora, di tengah Luzon.

Taufan Super Fung-wong membawa angin berterusan selaju 185 kph (115 mph) dan tiupan sehingga 230 kph (143 mph).

Gambar radar cuaca menunjukkan Fung-wong sedang menuju ke Filipina, memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan memindahkan lebih daripada 100,000 penduduk di wilayah timur dan utara negara itu bagi menjamin keselamatan mereka.

Sistem amaran ribut telah dinaikkan di sebahagian besar kawasan Filipina.

Amaran tertinggi telah diisytiharkan di tenggara Luzon, termasuk Catanduanes dan kawasan pesisir pantai Camarines Norte dan Camarines Sur.

Sementara itu, kawasan padat seperti Metro Manila dan kawasan sekitarnya diletakkan di bawah Amaran Tahap Tiga.

Kedatangan Fung-wong berlaku hanya beberapa hari selepas negara itu dibadai Taufan Kalmaegi, yang telah meragut 204 nyawa dan meninggalkan kemusnahan teruk di Filipina.

Kalmaegi kemudian melanda Vietnam, dengan meragut lima lagi nyawa dan memusnahkan komuniti pesisir pantai.

Situasi berkenaan meningkatkan kebimbangan penduduk dan pihak berkuasa mengenai kesan berganda akibat bencana alam berturut-turut. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!