HONG KONG, 29 November – Pasukan Unit Pengecaman Mangsa Bencana (DVIU) Hong Kong dikerahkan ke Wang Fuk Court di Tai Po pagi tadi, susulan kebakaran kompleks pangsapuri itu yang meragut sekurang-kurangnya 128 nyawa.
Pihak berkuasa berkata angka korban dijangka meningkat susulan 200 penduduk masih belum dikesan beberapa hari selepas insiden berlaku.
Polis turut mengesahkan 11 individu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kemungkinan rasuah serta penggunaan bahan binaan tidak selamat ketika kerja pengubahsuaian dilakukan di blok berkenaan.
Operasi menyelamat secara rasmi berakhir semalam.
Pemeriksaan seterusnya dijangka menemui lebih banyak mayat ketika pasukan penyiasat memasuki blok yang musnah.
Pagi ini, kerajaan Hong Kong mengadakan upacara berkabung sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi paling buruk di bandar itu dalam tempoh hampir 80 tahun.
Kebakaran yang berlaku pada Rabu petang itu merebak ke tujuh daripada lapan bangunan 32 tingkat, disebabkan pemasangan perancah buluh, jaring perlindungan hijau serta panel buih yang mudah terbakar.
Pegawai keselamatan turut mendedahkan ketika kejadian berlaku semua sistem penggera kebakaran di estet itu tidak berfungsi – REUTERS