Trump buka kemungkinan rundingan dengan Maduro, AS label kartel sebagai pengganas

WASHINGTON, 17 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan rundingan dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, mungkin berlaku susulan ketegangan memuncak selepas Washington meningkatkan kehadiran tenteranya di Caribbean.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump beri bayangan kesediaan rundingan dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
  • AS akan melabel Cartel de los Soles sebagai Organisasi Pengganas Asing berkuat kuasa 24 November.
  • Setiausaha Negara Marco Rubio menuduh kartel itu terlibat keganasan dan penyeludupan dadah ke AS serta Eropah.
  • Kerajaan Maduro menafikan dakwaan dan mendakwa tindakan AS bertujuan menggulingkan presidennya.
  • AS tingkatkan kehadiran ketenteraan di Caribbean termasuk kehadiran kapal USS Gerald R. Ford.

Trump membuat kenyataan itu selepas Washington mengumumkan langkah baharu menaikkan tekanan terhadap Caracas dengan merancang melabelkan sebuah kartel yang didakwa kendalian Maduro sebagai organisasi pengganas.

“Mereka mahu berbincang, dan kita tengok bagaimana nanti. Saya tidak pasti, namun sedia berbincang dengan sesiapa,” jelas Trump tanpa mengulas butiran lanjut ketika ditemui media di Florida sebelum berlepas pulang ke Washington.

Pada masa sama, Jabatan Negara AS mengumumkan Cartel de los Soles yang didakwa diketuai Maduro akan disenaraikan sebagai Organisasi Pengganas Asing (FTO) berkuat kuasa 24 November.

Setiausaha Negara Marco Rubio menuduh kartel itu terlibat dalam keganasan serta penyeludupan dadah ke AS dan Eropah.

Kerajaan Maduro bagaimanapun menafikan dakwaan AS dan menuduh langkah tersebut hanya helah Washington untuk menggulingkan presiden berhaluan kiri itu.

Sejak operasi ketenteraan anti-penyeludupan dilancarkan pada September lalu, sekurang-kurangnya 83 individu terbunuh dalam lebih 20 serangan tentera AS di perairan antarabangsa Caribbean dan Pasifik Timur.

Terbaharu, tentera AS mengesahkan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford sudah berada di Caribbean bagi operasi ‘Operation Southern Spear’, bersama dua kapal pemusnah peluru berpandu dan aset sokongan lain. – AFP

Hey there! Ask me anything!