Trump puji Infantino menjelang undian Piala Dunia 2026

WASHINGTON, 5 Disember – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebagai “pemimpin hebat” pada Khamis (waktu tempatan), sehari sebelum majlis undian Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung di sini.

Infantino, yang kini memasuki penganjuran Piala Dunia ketiganya, menerima kritikan hebat kebelakangan ini kerana dianggap terlalu rapat dengan Trump, yang pentadbirannya memainkan peranan penting dalam persiapan AS bagi Piala Dunia yang dijangka menjadi yang terbesar dan paling mencabar dari segi logistik.

Berucap pada satu majlis di ibu negara, Trump berkata penjualan tiket Piala Dunia kali ini sangat luar biasa “memecahkan semua rekod sebelum ini” kerana permintaan yang terlalu tinggi.

Menurut FIFA, lebih daripada satu juta tiket telah dibeli oleh peminat dari 212 negara setakat bulan lalu.

“Perkara seperti ini belum pernah berlaku dalam sejarah dari segi penjualan tiket.

“Gianni, terima kasih banyak. Anda telah melakukan kerja yang hebat, seorang pemimpin besar dalam sukan dan seorang lelaki budiman,” kata Trump.

Piala Dunia 2026, yang dianjurkan bersama AS, Kanada dan Mexico, akan menyaksikan undian kumpulan berlangsung pada Jumaat.

Edisi Piala Dunia kali ini akan menampilkan 48 pasukan dalam 12 kumpulan, dengan undian di Pusat John F. Kennedy di Washington akan menentukan jadual 104 perlawanan di 16 bandar tuan rumah di AS, Kanada dan Mexico.

Antara pasukan yang membuat penampilan sulung ialah Cape Verde, Uzbekistan, Jordan dan Curacao, negara terkecil pernah layak dengan populasi sekitar 150,000 orang.-REUTERS

Hey there! Ask me anything!