Trump tingkat tekanan ke atas Venezuela, isytihar ruang udara perlu ditutup

WASHINGTON, 29 November– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu memberi amaran bahawa ruang udara dan sekitar Venezuela perlu ditutup.

“Untuk semua syarikat penerbangan, juruterbang, pengedar dadah dan penyeludup manusia, sila anggap ruang udara di atas dan sekitar Venezuela ditutup sepenuhnya,” tulis Trump di rangkaian sosial Truth Social, tanpa penjelasan lanjut.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pentadbiran Trump meningkatkan tekanan ke atas Venezuela melalui penempatan tentera besar-besaran di Caribbean termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar dunia.

Washington mendakwa tujuan operasi itu adalah untuk membanteras penyeludupan dadah, namun Caracas menegaskan sasaran sebenar adalah perubahan kerajaan.

Sejak awal September, pasukan AS telah menyerang lebih 20 kapal yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik timur mengakibatkan lebih 80 kematian.

Setakat ini, Washington belum mengemukakan bukti bahawa kapal-kapal tersebut digunakan untuk penyeludupan dadah atau mengancam keselamatan AS.

Ketegangan serantau meningkat berikutan operasi ketenteraan dan penempatan tentera berkenaan.

Laporan The New York Times pada Jumaat menyebut kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan perbualan telefon minggu lalu dan membincangkan kemungkinan pertemuan di AS.

Laporan panggilan Trump-Maduro itu muncul sehari selepas Trump mengumumkan usaha menghentikan penyeludupan dadah Venezuela melalui darat akan dijalankan segera, sekali lagi menambah ketegangan dengan Caracas. -AFP

Hey there! Ask me anything!