BEIRUT, 5 Disember – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) digesa untuk mendesak Israel agar melaksanakan perjanjian gencatan senjata dan mematuhi resolusi antarabangsa.
Gesaan dibuat oleh Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam pertemuan dengan delegasi duta Majlis Keselamatan PBB yang mengunjungi negara itu, menurut kenyataan pejabat presiden.
Dalam pertemuan itu, Aoun turut menegaskan komitmen Lubnan untuk melaksanakan resolusi antarabangsa dan menyeru bantuan yang lebih meluas bagi membolehkan tentera Lubnan menyiapkan misi mereka.
Namun, beliau menegaskan usaha mencapai kestabilan memerlukan tekanan dikenakan ke atas Israel untuk mematuhi gencatan senjata.
“Lubnan menantikan penglibatan antarabangsa untuk memastikan pematuhan Israel,” kata Aoun kepada delegasi berkenaan.
Beliau turut memaklumkan satu lagi mesyuarat yang diketuai orang awam dengan Israel akan diadakan pada 19 Disember ini berhubung pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Beirut dengan Tel Aviv yang dimeterai pada tahun lalu.
Statistik Kementerian Kesihatan Lubnan menunjukkan, lebih 4,000 orang terbunuh, manakala 17,000 cedera dalam konflik Lubnan-Israel, manakala sekurang-kurangnya 335 orang terkorban dan 973 lagi cedera dalam 1,038 serangan Israel, sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada November 2024.
Tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari lalu bawah perjanjian gencatan senjata itu, namun gagal berbuat demikian dan terus kekal di lima pos sempadan. -REUTERS