BANGKOK, 6 Desember – Sebilangan kecil warga Myanmar di Thailand menjalankan undi awal di Kedutaan Myanmar di Bangkok hari ini, ketika proses pengundian bagi rakyat negara itu di luar negara mula dibuka.
Myanmar kini berada di bawah pemerintahan junta selepas rampasan kuasa pada 2021 yang mencetuskan konflik berpanjangan, namun pihak berkuasa tentera bertegas bahawa pilihan raya yang akan datang merupakan langkah menuju perdamaian dan demokrasi.
Pengundian fasa pertama di dalam negara dijadual bermula hujung Disember, namun undi awal telah dilakukan di beberapa kedutaan Myanmar, termasuk Hong Kong, Singapura, Chiang Mai serta Bangkok.
Kawalan keselamatan ketat dilihat di kawasan kedutaan, dengan kira-kira 25 pengundi hadir dalam dua jam pertama proses pendaftaran pagi tadi.
Menurut Kementerian Buruh Thailand, terdapat sekitar 500,000 warga Myanmar yang didaftarkan secara sah di Bangkok.
Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi menganggarkan seramai 4.1 juta warga Myanmar berada di Thailand, majoritinya pelarian tanpa dokumen disebabkan konflik perang.
Pihak kedutaan memaklumkan mereka tidak mempunyai angka rasmi jumlah individu yang mengemukakan borang pendaftaran pengundi sebelum tarikh tutup pada 15 Oktober lalu.
Sementara itu, ahli politik yang digulingkan, kumpulan hak asasi manusia serta kumpulan penentang junta menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai usaha menyamarkan kekuasaan tentera.
Kerajaan tentera turut memperkenalkan undang-undang baharu yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun ke atas mereka yang memprotes atau mengkritik proses pilihan raya.-AFP