
- White House mula merobohkan sebahagian Sayap Timur untuk bina Dewan Besar baru atas arahan Presiden Trump.
- Trump umum projek itu melalui Truth Social, mengatakan ia dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
- Trump dakwa Dewan Besar akan memenuhi impian presiden selama lebih 150 tahun untuk ruang rasmi besar.
- Kerja pembinaan dikatakan tidak akan mengganggu struktur asal bangunan sedia ada.
- Projek bernilai kira-kira US$250 juta menerima kritikan hebat daripada parti Demokrat.
WASHINGTON, 21 Oktober – White House memulakan kerja-kerja merobohkan sebahagian daripada Sayap Timur bagi membina sebuah dewan besar atas permintaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerja pembinaan Dewan Besar White House yang baharu, besar dan indah telah dimulakan,” kata Trump dalam kenyataan di platform media sosialnya, Truth Social, sambil menambah bahawa projek itu dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
“Selama lebih 150 tahun, setiap presiden mempunyai impian untuk memiliki sebuah dewan besar di White House bagi majlis rasmi, jamuan negara dan acara besar lain. Saya berbesar hati menjadi presiden pertama yang akhirnya merealisasikan projek yang amat diperlukan ini,” katanya.
Trump sebelum ini menegaskan bahawa kerja pembinaan itu tidak akan “mengganggu” struktur asal bangunan sedia ada. Kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah US$250 juta.
Namun, projek berkenaan mencetuskan kritikan hebat daripada parti Demokrat.