NEW YORK, 5 November– Tokoh muda berhaluan kiri, Zohran Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar baharu New York.
Kemenangan itu menjadikan parti Demokrat mendominasi dua kerusi gabenor utama, sekali gus memberi amaran awal kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjelang pilihan raya separuh penggal 2026.
Kemenangan bersih Demokrat dalam beberapa pilihan raya utama di seluruh negara dijangka menaikkan semangat parti berkenaan yang telah lama tertekan akibat serangan politik Trump sejak beliau kembali ke White House.
Mamdani muncul daripada dunia politik tempatan tanpa nama besar namun berjaya memimpin kempen berprofil tinggi untuk merebut jawatan tertinggi di bandar mega Amerika Syarikat itu.
Beliau mengalahkan calon bebas, bekas Gabenor Andrew Cuomo yang mendapat sokongan terbuka Trump, dan calon Republikan, Curtis Sliwa.
Manifesto Mamdani, seorang ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili kawasan Queens, berjaya menarik hati pengundi dengan janji untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, menyediakan perkhidmatan bas bandar secara percuma serta penjagaan kanak-kanak secara bersubsidi.
Sementara itu, di New Jersey, calon Demokrat Mikie Sherrill berjaya menewaskan ahli perniagaan yang juga disokong Trump.
Manakala di Virginia, calon Demokrat Abigail Spanberger merampas kembali kediaman rasmi gabenor daripada Republikan.
Kedua-dua kem berkempen mengerahkan tokoh besar masing-masing, termasuk bekas Presiden Barack Obama, yang tampil memberi sokongan kepada Spanberger dan Sherrill.
“Kita masih punya banyak kerja yang perlu diteruskan, tetapi masa depan kini kelihatan sedikit lebih cerah,” kata Obama sebagai reaksi terhadap kemenangan tersebut. -AFP