KUALA LUMPUR, 4 Disember – Kumpulan Bank Dunia dan Asian Development Bank (ADB) mengumumkan pelaksanaan dua projek pertama di bawah Full Mutual Reliance Framework (FMRF), satu kerangka kerjasama pembangunan baharu yang bertujuan mempercepatkan pelaksanaan projek serta meningkatkan keberkesanan impak di rantau Asia Pasifik.
Presiden Kumpulan Bank Dunia, Ajay Banga berkata FMRF direka khusus bagi membantu negara yang berdepan kekangan kapasiti pentadbiran dan proses pelaksanaan yang kompleks.
“Kerangka ini secara langsung menangani perkara tersebut. Ia mengurangkan pertindihan, menyelaraskan cara kita bekerjasama, serta membebaskan masa, wang, dan bakat untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media bersama Presiden Asian Development Bank (ADB), Masato Kanda di Ibu Pejabat ADB di Manila, Filipina, yang turut disertai pemimpin Fiji dan Tonga secara maya.
FMRF yang dimeterai awal tahun ini, memperkenalkan pendekatan di mana sesebuah negara hanya berurusan dengan satu institusi pelaksana, sama ada ADB atau Kumpulan Bank Dunia bagi keseluruhan kitaran projek termasuk reka bentuk, penyeliaan, perolehan dan penilaian.
Projek pertama yang diumumkan melibatkan pembangunan infrastruktur bandar dan jaringan penghubung di Tonga, dengan ADB bertindak sebagai peneraju.
Ia merupakan pelaburan pembangunan terbesar dalam sejarah negara tersebut, merangkumi naik taraf jalan raya, pembaikan sistem perparitan, peningkatan bekalan air serta pembinaan jambatan utama Fangata-Langu sepanjang 720 meter.
Projek tersebut dijangka memperkukuh mobiliti, ketahanan bandar dan akses kepada kemudahan asas untuk masyarakat setempat.
Projek kedua pula diterajui Kumpulan Bank Dunia dan melibatkan Fiji, Tonga, Kiribati, Tuvalu, Nauru, Samoa, Kepulauan Solomon dan Vanuatu, dengan sasaran memberi manfaat kepada 2 juta penduduk serta mewujudkan 11,000 peluang pekerjaan di negara terbabit.
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem kesihatan serantau, termasuk rawatan penyakit tidak berjangkit dan penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan kesihatan komuniti.
Sementara itu, Presiden ADB, Masato Kanda, menjelaskan bahawa kerangka FMRF menjadi model baharu bagi institusi pembangunan pelbagai hala untuk beroperasi secara lebih tersusun dan bersepadu.
Tambahnya lagi, penyelarasan bersama Kumpulan Bank Dunia membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada impak sebenar projek, dan pengalaman daripada dua projek sulung ini akan digunakan untuk memperluas penerapan kerangka berkenaan ke lebih banyak negara di Asia dan Pasifik mulai tahun depan.