IPOH, 8 Disember – Syarikat Batik Air memperluas rangkaian penerbangan domestiknya dengan pembukaan laluan baharu Ipoh–Singapura, hari ini.
Pembukaan laluan itu mencerminkan keyakinan syarikat berkenaan terhadap potensi sektor pelancongan yang semakin berkembang di Perak.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata pelaksanaan laluan berkenaan turut menandakan satu lagi kejayaan dalam pembangunan industri penerbangan dan pelancongan negeri.
“Dengan adanya penerbangan terus ini, kita membuka peluang lebih luas kepada rakyat Singapura serta pelancong yang transit melalui negara itu untuk meneroka kekayaan warisan, keindahan semula jadi dan keunikan budaya Perak.
“Peningkatan aksesibiliti serta pengurangan masa perjalanan diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong yang mencari pengalaman pelancongan yang autentik dan bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Laluan Baharu Batik Air Ipoh–Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Dalam pada itu, lebih 10 juta pelancong dari Singapura direkodkan memasuki Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Kerajaan negeri percaya semua pemain industri pelancongan akan menerima impak langsung menerusi pembukaan laluan penerbangan baharu itu.