KUALA LUMPUR, 4 Disember – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang merangka pelan jangka panjang bagi mengurangkan pegangan sahamnya dalam Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) secara berperingkat.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata langkah itu selaras dengan aspirasi BNM untuk meningkatkan daya saing pasaran serta memperkukuh kepimpinan industri dalam ekosistem pembayaran digital negara.
“Dalam melaksanakan pelan ini, BNM akan terus memastikan sistem pembayaran negara kekal stabil, berdaya tahan serta menyokong inovasi tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem sedia ada,” menurut MOF.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
MOF menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta penjelasan berhubung perancangan kerajaan untuk menyemak semula atau mengurangkan kadar pemilikan BNM dalam PayNet.
Menurut kementerian itu, BNM ketika ini merupakan pemegang saham utama PayNet dengan pegangan sebanyak 35.5 peratus dan telah menetapkan mandat yang jelas kepada syarikat berkenaan bagi menyediakan kemudahan pembayaran digital yang terangkum serta berdaya saing kepada rakyat dan peniaga.
Selain itu, PayNet juga perlu memastikan tahap daya tahan dan keselamatan sistem pembayaran yang tinggi.