KUALA LUMPUR, 3 Disember – FDI Global Sdn Bhd mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia – Korea melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Oceans Global Co., Ltd, anak syarikat penuh Foosung Group, sebuah konglomerat industri Korea Selatan.
Kerjasama itu memberikan Oceans Global hak rundingan pertama untuk sehingga 60 metrik tan udang sebulan, termasuk udang hitam premium, udang putih Pasifik dan produk bernilai tambah lain daripada FDI Global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FDI Global, Steven Tan Eng Chong, MoU tersebut merupakan lonjakan strategik ke pasaran Asia Timur.
“Kami akan bekerja rapat dalam aspek kualiti dan pematuhan standard bagi memastikan kami memenuhi keperluan ketat Korea. Kerjasama ini akan memperkukuh disiplin operasi, menyokong pertumbuhan kami dan meneguhkan reputasi FDI sebagai pembekal yang dipercayai,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini, hari ini.
Pasaran udang Korea dianggarkan bernilai AS$1.37 bilion pada 2024, dengan import menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan pasaran. Permintaan tinggi datang daripada sektor peruncitan, hotel dan platform jualan dalam talian, menjadikan Korea antara pasaran paling pesat berkembang bagi produk makanan laut di Asia.
MoU itu turut menekankan aspek kualiti dan pematuhan standard, termasuk ujian antibiotik, saringan virus, audit kebersihan dan dokumentasi eksport.
Kedua-dua pihak juga akan membangunkan Manual Piawaian Kualiti Pengeluaran untuk memastikan setiap penghantaran konsisten serta memenuhi semua piawaian ditetapkan.
Selain itu, kerjasama berkenaan merangkumi inisiatif kelestarian dan ESG seperti amalan ladang mesra alam, rantaian sejuk yang lebih efisien dan strategi pengurangan karbon, sejajar dengan matlamat FDI Global untuk menjadikan Malaysia pengeluar udang premium yang dipercayai di pasaran Korea.
Majlis menandatangani MoU berlangsung di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South City, disaksikan oleh wakil kanan kedua-dua syarikat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif FDI Global, Steven Tan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Oceans Global, Hur Beomyun.