KUALA LUMPUR, 4 Disember – Gaji bakat digital dijangka meningkat 10.81 peratus pada 2026, disokong pelaburan industri yang lebih tinggi dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, keselamatan siber dan sistem berasaskan data.
Pengerusi Penyelidikan Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Woon Tai Hai berkata, jangkaan lonjakan gaji itu berikutan usaha majikan yang semakin giat mendapatkan bakat teknologi berkemahiran tinggi dengan gaji yang diiklankan bagi peranan digital meningkat 9.5 peratus pada 2025.
“Saya rasa ekonomi digital kita masih belum sampai ke tahap itu. Malah, kita belum mencapai puncak seperti negara Barat, contohnya Amerika Syarikat, malah China juga.
“Jadi kita perlu menawarkan gaji yang cukup menarik untuk menarik bakat. Bukan sahaja dari Malaysia, kita juga ingin menarik expat, terutama dari negara jiran. Daripada kehilangan bakat, kita cuba menarik pekerja asing. Jadi kita berpendapat 9.5 peratus agak memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan Laporan The Economic and Digital Job Market Outlook 2025 di ibu negara hari ini.
Pelarasan gaji secara menyeluruh terutama kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,700 turut mendorong syarikat menstruktur gaji dalaman bagi mengekalkan kesepadanan pekerjaan.
Pada masa sama, tumpuan kerajaan dalam penciptaan nilai adalah langkah tepat bagi menyeimbangkan manfaat pelaburan dan penggunaan teknologi.
“Negara tidak boleh hanya fokus kepada penggunaan teknologi sahaja, tetapi perlu galakkan penciptaan nilai. Contohnya, pelaburan dalam pusat data mungkin besar, tetapi nilai sebenar bergantung sama ada ia meningkatkan bakat tempatan dan produktiviti atau sekadar menggunakan tenaga,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menekankan peranan universiti dalam menyediakan graduan bersedia menghadapi keperluan industri, khususnya dalam pengendalian AI, bagi mengurangkan ketidakpadanan pekerjaan.