Kerajaan percepat bayaran balik cukai, pastikan aliran tunai PKS stabil

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini bagi mempercepat pembayaran tertunggak, terutama kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS).

Menurut penganalisis ekonomi yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah segera kerajaan adalah bertujuan meringankan beban aliran tunai perniagaan dan terus membantu rakyat mengekalkan operasi harian dan memberikan kelegaan kepada PKS dengan kecairan tunai.

“Kerajaan mengambil iktibar bahawa tunai perlu dipulangkan kepada PKS tanpa sebarang kelewatan, kerana aliran tunai yang stabil adalah aspek penting untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas program Bual Biz, di sini, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan e-invois bagi tahun 2026 dirancang secara lebih realistik agar tidak membebankan PKS yang masih dalam proses penyesuaian digital, dengan pendekatan berperingkat yang memberi ruang kepada perniagaan kecil merancang perbelanjaan, kos operasi dan pelaburan digital.

“Tempoh penyesuaian yang diberikan kerajaan membolehkan PKS merangka pelan kewangan dan mengurus kos dengan lebih baik, seterusnya memastikan pelaksanaan e-invois berjalan lancar serta meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan dan peluang margin keuntungan,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa kombinasi peningkatan peruntukan bayaran balik cukai dan pelaksanaan e-invois secara berperingkat dijangka meningkatkan kepatuhan sukarela PKS.

Langkah tersebut juga menunjukkan kesungguhan kerajaan mendengar suara rakyat dan industri, serta mengukuhkan keberkesanan dasar fiskal dalam menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan secara mampan.

Hey there! Ask me anything!