KUALA LUMPUR, 8 Disember – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin, meskipun terdapat isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen bertambah baik susulan jangkaan bahawa Eropah mungkin memperkenalkan dasar bagi menyokong sektor automotifnya, sekali gus mengukuhkan pandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah pada akhir minggu ini.
Keyakinan terhadap dasar pro permintaan China turut meningkatkan sentimen.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi China yang bercampur-campur dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, niaga hadapan getah Jepun susut hari ini berikutan permintaan getah yang lemah daripada Eropah, kesan tarif AS dan paras inventori yang tinggi di China di tengah-tengah yen yang lebih kukuh.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 naik sebanyak 2.5 sen kepada 718 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat sedikit sebanyak setengah sen kepada 576 sen sekilogram.- BERNAMA