KUALA LUMPUR, 7 Disember – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menarik nafas lega susulan keputusan kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun hadapan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, langkah itu sejajar dengan cadangan awal persatuan itu yang mahu peniaga dengan jualan tahunan di bawah RM1 juta dikecualikan daripada keperluan tersebut.
“Walaupun keputusan ini mengambil sedikit masa, kami bersyukur kerana PKS kini diberikan ruang untuk menambah baik operasi tanpa tekanan tambahan daripada pelaksanaan e-invois,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Beliau berharap PKS menggunakan tempoh kelonggaran itu untuk memperkukuh usaha transformasi pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Menurutnya, keputusan itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap suara serta cabaran peniaga kecil.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengumumkan kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan sebagai langkah mengurangkan beban syarikat PKS.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung rungutan peniaga kecil mengenai kos melaksanakan sistem itu.

