Ringgit dijangka stabil minggu depan, didorong jangkaan pengurangan kadar faedah AS

KUALA LUMPUR, 6 Disember – Ringgit dijangka kekal stabil dan diniagakan dalam julat 4.10 hingga 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, dipacu oleh jangkaan pasaran terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebanyakan peniaga dan pelabur menjangkakan Fed akan membuat pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang dijadualkan pada 9 dan 10 Disember.

“Tumpuan minggu depan akan terarah kepada mesyuarat FOMC, dan lebih penting, panduan dasarnya, terutama unjuran suku tahunan terkini mengenai pemboleh ubah makroekonomi, khususnya Kadar Dana Persekutuan dan unjuran inflasi,” katanya.

Awal minggu ini, ringgit mendatar pada Isnin sebelum mengukuh dari Selasa hingga Jumaat. Mata wang tempatan mencatat 4.11, iaitu paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan pada Khamis.

Berasaskan perbandingan minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS, ditutup pada 4.1105/1140 daripada 4.1300/1350 yang dicatatkan minggu lalu.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama termasuk Yen Jepun, Euro dan Pound Britain.

Sebaliknya, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara rakan serantau ASEAN, antaranya rupiah Indonesia, dolar Singapura dan peso Filipina.

Hey there! Ask me anything!