KUALA LUMPUR, 4 Disember – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd, menjangkakan model terbaru, Proton Saga MC3 bakal peneraju segmen A dalam pasaran ASEAN, tahun hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong, model terbaru itu mencatatkan lebih 30,000 tempahan sejak pelancarannya minggu lepas.
“Proton e.MAS 5 pula menjadi EV mampu milik pertama di Malaysia dengan mencapai lebih 10,000 tempahan dalam tempoh singkat.
“e.MAS berada di tengah-tengah peta hala tuju EV Proton. Kami percaya jenama itu akan menjadi jenama EV nombor satu di negara ini, tidak lama lagi,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Proton Technology Showcase.
Syarikat turut komited untuk meningkatkan jumlah jualan, dengan sasaran mencapai 330,330 unit menjelang 2030, serta memperluas eksport daripada 4% kepada 30% daripada keseluruhan jualan.
Proton Tech Showcase mempamerkan model-model terbaharu PROTON serta siri pembentangan serta perbincangan mengenai trend dan teknologi automotif masa kini dan masa hadapan.
Ia turut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat inovasi terkini dalam elektrifikasi, pembangunan rangkaian kuasa dan kesambungan pintar.
Antara tarikan utama, platform global modular architecture (GMA), bateri Short Blade serta enjin dan transmisi Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) terbaharu PROTON, selain pameran teknologi oleh Aco Tech Sdn Bhd yang menampilkan keupayaan realiti terimbuh(AR) dan kepintaran buatan (AI).