LOS ANGELES, 18 Disember – Majlis Anugerah Akademi (Oscar) akan disiarkan secara eksklusif di YouTube bermula 2029, menurut kenyataan Akademi pada Rabu.
Tindakan itu merupakan satu langkah berani bagi industri perfileman yang masih berhati-hati terhadap platform penstriman meskipun minat tontonan semakin beralih ke dalam talian.
Perjanjian baharu selama lima tahun itu bermakna majlis anugerah paling berprestij Hollywood itu akan dapat ditonton hanya secara dalam talian buat kali pertama, sekali gus menamatkan hubungan puluhan tahun dengan penyiar Amerika Syarikat, ABC.
Keputusan itu akan membolehkan Anugerah Akademi mencapai tontonan global terbesar yang akan memberi manfaat kepada ahli Akademi dan komuniti perfileman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Academy of Motion Picture Arts and Sciences, Bill Kramer, dan Presiden Lynette Howell Taylor dalam satu kenyataan bersama.
Anugerah Oscar, yang meraikan pencapaian terbaik dalam dunia perfileman dan menghimpunkan senarai bintang A antarabangsa, lazimnya ditonton sekitar 20 juta rakyat Amerika, selain jutaan penonton lain di seluruh dunia.
Kontrak terbaharu ABC untuk menyiarkan Oscar sepatutnya tamat pada 2028, sempena Anugerah Akademi ke-100.
Saluran milik Disney itu akan terus menyiarkan Oscar sehingga tempoh tersebut berakhir.
Namun, perjanjian baharu dengan YouTube milik Google menandakan hala tuju baharu yang berani, ketika penonton semakin memilih untuk menonton pelbagai kandungan secara dalam talian.
Platform penstriman milik syarikat teknologi Silicon Valley sebelum ini berjaya menarik bakat ternama dari studio Hollywood tradisional melalui kontrak bernilai besar meskipun terdapat kebimbangan pembikin filem bahawa karya mereka jarang ditayangkan lama di pawagam.
Platform penstriman juga semakin diterima dalam Anugerah Akademi, apabila Apple memenangi anugerah Filem Terbaik menerusi “CODA” pada 2022.
Anugerah SAG, satu lagi majlis anugerah penting Hollywood yang kini dikenali sebagai The Actors Awards, juga telah berpindah ke Netflix.
YouTube kini menyumbang bahagian terbesar masa tontonan televisyen di Amerika Syarikat berbanding mana-mana platform penstriman lain, mengatasi Netflix.
“Kerjasama ini akan memanfaatkan jangkauan luas YouTube dan menyuntik peluang penglibatan inovatif kepada Oscar serta program Akademi lain, sambil menghormati legasi kami,” menurut kenyataan Akademi.
Terma kewangan perjanjian baharu itu tidak didedahkan.
Laman industri Deadline melaporkan bahawa “jumlah yang sanggup dibayar oleh YouTube tidak masuk akal bagi Disney,” memetik sumber dalaman. – AFP