KUALA LUMPUR, 12 Disember – Kumpulan wanita popular DOLLA kembali bertemu para peminat melalui acara DOLLA Exclusive Fan Meet yang berlangsung pada 6 Disember lalu di LG1 Pyramid Concourse, Sunway Pyramid.
Pertemuan tertutup itu diadakan sebagai penghargaan terhadap kesetiaan iDOLLAs yang terus menyokong kumpulan tersebut sepanjang perjalanan seni mereka.
Acara bermula pada pukul 3.00 petang itu dalam suasana mesra dan penuh warna apabila peminat diberi ruang berinteraksi lebih dekat bersama anggota DOLLA.
Selain sesi beramah mesra, peminat turut membawa aksesori mini untuk “DOLL-ify”, menjadikan suasana lebih peribadi dan menyeronokkan. Turut dijual ialah barangan rasmi seperti Baby Tee, Crew Tee, Photocard Holder, Trading Card Pack serta Light Stick V2 yang diperkenalkan buat pertama kali.
Tabby, mewakili kumpulan, menyifatkan acara itu sebagai peluang bagi menebus masa sukar yang dilalui kumpulan tersebut dan berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi peminat. Beliau turut berkongsi bahawa DOLLA kini sedang merancang pelbagai projek besar untuk 2026, termasuk festival antarabangsa, persiapan album baharu dan sebuah showcase khas.
Selepas acara, Tabby menzahirkan rasa syukur kerana dapat kembali berjumpa peminat yang sanggup hadir dari seluruh negara dan menyatakan sokongan itu terus memberi motivasi untuk menghadapi cabaran mendatang.
Angel turut menyifatkan pertemuan tersebut sebagai pengalaman bermakna memandangkan peluang bertemu peminat secara dekat jarang diperoleh.
Sementara itu, Sabronzo menegaskan bahawa kekuatan utama DOLLA sentiasa datang daripada iDOLLAs, dan acara kali ini membolehkan mereka berkongsi cerita serta mencipta memori baharu bersama peminat setia.
‘Fan meet’ tersebut berakhir dengan penuh emosi dan meninggalkan kenangan manis buat DOLLA serta komuniti peminat mereka. Dengan pelbagai perancangan besar menanti pada tahun 2026, acara ini menjadi detik penting yang mengukuhkan lagi hubungan antara kumpulan dan penyokong mereka.