‘Gadis Kopi’ suntik inspirasi keusahawanan

KUALA LUMPUR, 24 Disember – Drama terbaharu RTM ‘Gadis Kopi’ mengangkat kisah perjuangan, pengkhianatan dan kasih-sayang dalam dunia perniagaan kopi tempatan, sambil menyemai inspirasi keusahawanan kepada masyarakat.

Ia turut mengetengahkan peranan FAMA membantu mewujudkan pasaran, membangunkan infrastruktur, dan meningkatkan pendapatan pengeluar pertanian.

Drama 13 episod mula bersiaran pada 22 Disember lalu ini menampilkan pelakon utama Evanatie Sannie sebagai Ain, Halim Radzi (Bakri), Nizam Badri (Simon), Aidil Aziz, Jo Johari dan Dayang Areeda.

‘Gadis Kopi’ mengisahkan keteguhan hati gadis anak yatim piatu iaitu Ain yang berjuang untuk mempertahankan legasi produk kopi warisan keluarganya terus berkembang meskipun berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran.

Ikuti perjalanan watak Ain yang terlibat dalam kemalangan bersama bapanya Saidin ketika dalam perjalanan menghantar bekalan Kopi Wong di Kota Kinabalu.

Saksikan drama ini setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 8.00 malam di TV2 dan RTMKlik.

Pemilihan drama-drama di RTM bukan sahaja memfokuskan kepada nilai-nilai kekeluargaan dan jalan cerita yang penuh emosi, RTM turut bertanggungjawab dalam mendidik dan memberi inspirasi terhadap pendidikan sosial termasuklah ke arah budaya usahawan kepada masyarakat.

Sinopsis:

Ain yang terlibat dalam kemalangan bersama bapanya Saidin ketika dalam perjalanan menghantar bekalan Kopi Wong di Kota Kinabalu. Ain selamat tapi Saidin dan pemandu van, Marius meninggal dunia dalam kejadian itu. Sejak tragedi itu, Tauke Wong mengambil Ain sebagai anak angkat.

Wong membesarkan Ain seperti anaknya sendiri. Diberi pendidikan agama dan akademik. Ain disayangi oleh keluarga Wong.

Setelah Ain tamat pengajian universitinya, ayah angkatnya Wong disahkan mengidap kanser. Ain memujuk abangnya, James pulang ke rumah untuk memujuk ayah mereka mendapatkan rawatan.

Wong membuat keputusan menyerahkan perniagaan kopinya kepada Ain. Marcus tidak berpuas hati dengan keputusan Wong mewariskan perniagaan kepada Ain.

Apakah kesudahannya ?

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.