PETALING JAYA, 18 Disember – Penyanyi rap tri-bahasa tanah air, Malik Choo, kembali mencuri perhatian menerusi single terbaharunya berjudul ‘Move On’.
Lagu terbabit menampilkan gabungan rap moden dan elemen R&B yang sarat dengan emosi serta mesej positif.
Menurut Malik, ‘Move On’ menyentuh tema kejujuran perasaan, penerimaan diri dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan.
“Dicipta dan diterbitkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Kidd Santhe, serta ditulis oleh Altimet a.k.a Mambang, “Move On” hadir sebagai sebuah single moden yang menggabungkan kejujuran emosi, produksi yang mantap, serta mesej motivasi yang mengajak pendengar untuk melangkah ke depan,” katanya menerusi kenyataan.
Lagu itu turut menjadi refleksi kepada evolusi muzik Malik yang semakin berani mengekspresikan sisi peribadi dan emosinya secara lebih terbuka.
Bermula sebagai DJ Kino pada tahun 2009, Malik membina namanya secara konsisten melalui persembahan pentas, kolaboratif serta pelbagai single sebelum ini.
Antara lagu yang pernah melonjakkan namanya termasuk “Kita Jaga Kita” bersama Altimet yang meraih lebih 10 juta tontonan di YouTube, selain “Lelaki Di Telefon” bersama Afieq Shazwan dan “Ralit” bersama Tuju.
Single ‘Move On’ kini boleh distrim di semua platform digital utama bermula 5 Disember 2025, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube VEVO @MalikChoo bermula 10 Disember 2025.