LONDON, 24 Disember – Penyanyi dan penulis lagu British, Chris Rea, terkenal era 1980-an meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap kepada isterinya Joan Lesley menerusi kenyataan yang disiarkan kepada media UK.
“Dengan rasa sedih yang amat mendalam, kami mengumumkan pemergian Chris. Beliau meninggal dunia di hospital awal hari ini dan dikelilingi keluarga tercinta,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan ketika ini.
Beliau popular dengan lagu “Driving Home for Christmas”pada era 1980-an.
Chris Rea, dilahirkan pada 1951 di Middlesbrough, timur laut England, pernah didiagnosis menghidap kanser pankreas dan menjalani pembedahan pembuangan pankreas pada 2001. Beliau juga mengalami strok pada 2016.
Beliau mula terkenal di Britain pada lewat 1970-an dengan lagu “Fool (If You Think It’s Over)”, dan kemudian meneruskan kejayaannya pada 1980-an dengan lagu “Let’s Dance” dan “The Road to Hell”.
Dikenali dengan suara serak dan kemahiran bermain gitar gesek, Chris merakam 25 album solo — dua daripadanya menduduki tangga teratas carta album UK — serta pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy awal dalam kariernya.
Lagu beliau yang dirakam pada 1986, “Driving Home for Christmas”, menjadi lagu ikonik musim perayaan, sering muncul semula dalam carta single Britain pada Disember. Baru-baru ini, lagu itu mencapai tangga ke-30 dan turut digunakan dalam iklan Krismas rangkaian pasar raya Marks & Spencer.
Menurut laman web Chris, lagu itu “menceritakan kisah seorang pengembara yang penat dalam perjalanan pulang, satu detik kehangatan, humor dan semangat perayaan yang tidak pernah hilang magiknya.”
Dalam beberapa temu bual, beliau mendedahkan bahawa lagu itu ditulis lapan tahun sebelumnya ketika pengurusnya meninggalkannya. Idea berkenaan hadir ketika Chris tidak dibenarkan memandu.
“Secara berseloroh, saya mula menyanyi ‘We’re driving home for Christmas…’ dan apabila lampu jalan menyinari dalam kereta, saya mula menulis liriknya,” katanya dalam satu temu bual.- AFP