KUALA LUMPUR, 22 Disember – Penyanyi dan pelakon Shazia Rozaini tampil dengan lagu terbaharu berbahasa Jepun berjudul Itoshi-Hito, membawa maksud ‘rinduku’, hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal Pakya Senario.
Lagu itu mengisahkan perasaan terpendam seorang gadis Melayu terhadap jejaka di Jepun, yang tidak pernah diluahkan dan terus bermain dalam fikirannya.
Menurut Shazia, Itoshi-Hito sarat dengan makna romantik, juga menggambarkan keindahan budaya dan suasana di Jepun serta menjadi medium menzahirkan kerinduannya terhadap dunia nyanyian yang membawanya ke dalam industri seni.
Sementara itu, Pakya Senario berkata, inspirasi lagu tersebut lahir daripada pengaruh muzik Jepun era 1970-an yang dirasakan sesuai dengan selera pendengar Melayu. Beliau menyifatkan Shazia sebagai bakat berpotensi besar dan Itoshi-Hito sebagai langkah penting dalam memperkembangkan perjalanan seni muzik penyanyi itu.
Dengan adunan melodi sentimental, elemen budaya Jepun dan penceritaan halus, Itoshi-Hito menjanjikan pengalaman emosional yang menyentuh perasaan rindu. Lagu ini diterbit dan diedarkan secara digital oleh Luncai Emas, serta boleh didengari di platform seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muziknya ditayangkan di saluran YouTube Luncai Emas.