KUCHING, 17 November – Kecekapan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok dan bawang bernilai keseluruhan RM832,500 di kawasan sempadan Serikin, Bau, pada Isnin.
- 11 RAMD menahan empat lelaki dalam operasi anti-penyeludupan di sempadan Serikin, Bau.
- Rampasan termasuk 21,600 karton rokok dan 900 guni bawang, serta empat lori pelbagai jenis.
- Semua suspek dan barangan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
- Kejayaan menunjukkan kesiapsiagaan 11 RAMD dan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain.
TDM menerusi satu kenyataan memaklumkam, dalam kejadian sekitar pukul 5.45 petang itu, pasukan 11 RAMD yang bertugas di bawah Operasi KERIS PARANG mengesan pergerakan mencurigakan beberapa lori menggunakan laluan tidak diwartakan dari arah Indonesia ke kawasan kampung berhampiran.
“Susulan tindakan pantas anggota, empat lelaki dipercayai terlibat, seorang rakyat Malaysia dan tiga warga Indonesia berjaya ditahan tanpa sebarang insiden.
“Pemeriksaan lanjut menemui 21,600 karton rokok jenama Gudang Gading bernilai RM648,000, serta 900 guni bawang bernilai RM31,500. Turut dirampas empat lori pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM153,000.
“Kesemua rampasan dan suspek diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut mengikut undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.
TDM berkata, kejayaan itu membuktikan tahap kesiapsiagaan anggota di kawasan operasi serta kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain, sekali gus menutup satu lagi ruang eksploitasi sindiket penyeludupan di sempadan darat Sarawak.


