KUALA LUMPUR 4 Disember – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Suapan tersebut didakwa bertujuan mendapatkan bantuan bagi kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Dua pertuduhan pertama melibatkan pemberian tunai RM100,000 dan RM40,000 di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur antara November 2023 hingga Januari 2024.
Manakala, dua lagi pertuduhan melibatkan pemberian perabot dan barangan elektrik bernilai lebih RM36,000 antara Disember 2023 dan Mac 2024.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan syarat tambahan menyerahkan pasport, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan menyerahkan pasport ke kepada mahkamah.
Serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh sentiasa memberi kerjasama dan menanggung keluarga, sebelum mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.