Albert Tei, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah pertuduhan rasuah RM64,924

SHAH ALAM, 5 Disember – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM64,924.

Albert, 37 tahun dan Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar selaku ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur daripada Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan bagi membantu syarikat-syarikat yang berkepentingan dengan Albert mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Country Heights, Kajang, Selangor antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Pertuduhan terhadap Shamsul Iskandar dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Albert pula didakwa memberi suapan wang tunai bernilai RM64,924 kepada Shamsul Iskandar dan pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin ke atas Shamsul Iskandar, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin, manakala Albert pula dibenarkan ikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin.

Farah Ezlin turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 memandangkan tertuduh juga didakwa dengan empat pertuduhan rasuah lain di mahkamah berkenaan semalam.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 8 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hey there! Ask me anything!