Empat individu ditahan, bantu siasatan penemuan mayat dalam beg

GEORGETOWN, 22 Oktober – Empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang disumbat dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh di sini, 9 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat individu tempatan (dua lelaki, dua wanita) ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat.
  • Reman akan dipohon di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi siasatan lanjut membunuh.
  • Mangsa, Lee Boon Han, ditemukan dengan kecederaan kelar dan tangan diikat dalam sebuah beg.

Penahanan kesemua individu tersebut disahkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.

“Kesemua mereka merupakan warga tempatan masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 32 tahun ditahan secara berasingan di Butterworth dan Kampar, Perak.

“Penahanan dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), kontinjen Pulau Pinang”, katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Tambah beliau, permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan yang diikat ditemui disumbat di dalam sebuah beg di belakang Flat Ampang Jajar, Jalan Permatang Pauh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 petang itu, mayat lelaki tersebut ditemui oleh seorang pekerja pembersihan yang sedang menjalankan tugas rutin di kawasan flat berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31 tahun sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 8 Oktober lalu selepas keluar dari rumah sehinggalah mayatnya ditemukan.

Hey there! Ask me anything!