Imbasan bagasi bongkar cubaan seludup dadah bernilai jutaan ringgit

PUTRAJAYA, 3 Disember – Cubaan dua warga asing membawa masuk dadah bernilai lebih RM2.5 juta ke negara ini digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas mereka ditahan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam dua kejadian berasingan pada 19 November lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, dalam satu kenyataan media berkata, kedua-dua suspek masing-masing warga China dan Thailand, ditahan hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA bersama anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas imbasan bagasi menunjukkan imej mencurigakan.

Pemeriksaan terhadap bagasi milik warga China menemukan beberapa bungkusan kecil berwarna kuning mengandungi serbuk disyaki ketamin yang disorokkan dalam tin dan kotak berwarna merah berlabel “Refined Chinese Tea”.

Sementara itu, bagasi milik warga Thailand mengandungi kapsul berisi serbuk disyaki kokain, disembunyikan dalam patung soft toy.

Anggaran berat kasar kokain ialah 12 kilogram dengan nilai melebihi RM2.4 juta, manakala ketamin seberat 2.7 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM135,000.

Kedua-dua jenis dadah tersebut disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Zulkifli, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama, dan jika sabit kesalahan, pelaku berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.

Hey there! Ask me anything!