Insiden tembakan di Durian Tunggal: Polis rakam keterangan 7 saksi

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa ahli keluarga kepada tiga lelaki yang terlibat dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Disember lalu telah hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada pukul lebih kurang 10.30 pagi bagi membantu siasatan.

Menurut Kenyataan Media PDRM, satu unit telefon bimbit yang dipercayai mengandungi rakaman audio berkaitan kes tersebut telah diserahkan oleh salah seorang ahli keluarga kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Selain itu, sampel suara saksi turut diambil dengan bantuan CyberSecurity Malaysia (CSM) bagi tujuan analisis.

Percakapan tiga ahli keluarga si mati turut direkodkan hari ini dengan kehadiran tiga orang peguam.

“Siasatan kini diambil alih sepenuhnya oleh Pasukan Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan akan dijalankan secara adil serta profesional berpandukan undang-undang sedia ada.

“Setakat ini, pasukan siasatan telah merekodkan percakapan tujuh saksi, terdiri daripada tiga ahli keluarga si mati dan empat pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.

PDRM menegaskan komitmen untuk memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa memihak kepada mana-mana individu serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.