KUALA PILAH, 26 November – Polis bertindak proaktif dalam menyiasat kes tembakan dan tetak seorang lelaki warga tempatan dalam kejadian yang berlaku di Sendayan, 19 November lepas.
- Polis ambil tindakan proaktif menyiasat kes tembakan dan tetak di Sendayan, kejadian 19 November.
- Kejadian tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan kongsi gelap.
- Empat suspek tempatan berusia sekitar 30–40 tahun ditahan dan direman untuk siasatan.
- Sepuluh saksi dirakam keterangan; operasi mengesan suspek masih berjalan.
- Suspek dan mangsa dikaitkan dengan beberapa kes samun di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya juga tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa terdapat pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam kes itu.
Menurutnya, setakat ini empat suspek, lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan.
Selain itu, seramai 10 saksi juga telah dirakam percakapan dan operasi mengesan suspek masih diteruskan.
“Kita masih belum dapat mengesahkan motif sebenar. Berdasarkan maklumat setakat ini, terdapat kaitan suspek dan mangsa dalam beberapa kes samun yang berlaku di Negeri Sembilan serta kawasan Lembah Klang”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Polis Diraja Malaysia di Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah.
Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan maut ditembak di depan sebuah restoran di Sendayan dan dikesan mempunyai 42 rekod jenayah.

