Kes tembakan Durian Tunggal: PDRM terima CD, jalan siasatan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 7 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima sekeping cakera padat (CD) pada Sabtu (6 Disember) daripada ahli keluarga salah seorang suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka.

CD berkenaan dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara suspek dan isterinya sebelum kejadian berlaku.

Terdahulu, pada 3 Disember lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menubuhkan pasukan siasatan khas yang diketuai seorang pegawai kanan berpangkat Senior Assistant Commissioner (SAC) untuk mengambil alih keseluruhan siasatan di peringkat Bukit Aman, bagi memastikan setiap aspek siasatan disemak secara teratur, profesional dan tanpa kompromi.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail itu, turut menegaskan komitmen PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh, berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang berlangsung.

Sebarang maklumat berkaitan insiden tersebut boleh disalurkan melalui talian hotline 019-376 4763.

PDRM menghargai kerjasama masyarakat dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Sebelum ini, dilaporkan tiga penjenayah kes samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi 24 November lalu.

Ketiga-tiga suspek dilaporkan ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi itu, sehingga anggota polis mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.

Suspek bersenjatakan parang panjang terdiri dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT yang dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024.

Hey there! Ask me anything!