Mitsubishi Pajero penuh daun ketum ditinggalkan dalam hutan

KUALA NERANG, 19 Jun- Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 720 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand menerusi kawasan hutan dekat sempadan negara di sini, malam tadi.

Menurut 2 Divisyen dalam satu kenyataan di sini hari ini, pasukan operasi menemui sebuah kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand pada jam 9 malam.
 
“Hasil siasatan mendapati kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu dipenuhi muatan 720kg daun ketum dianggarkan bernilai RM57,600.

“Kawasan kejadian adalah di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan kesemua 71 bungkusan dan kenderaan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan RM77,600 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

Hey there! Ask me anything!