KUALA LUMPUR, 3 Disember – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada sebarang salah guna kuasa berlaku dalam pelaksanaan Ops Songsang, susulan dakwaan mengatakan proses pelepasan tahanan sengaja dilewatkan melebihi 24 jam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata kelewatan yang berlaku berpunca daripada jumlah tangkapan yang besar serta kehadiran ramai peguam, sekali gus memanjangkan proses dokumentasi, permohonan reman dan urusan penjamin.
“Permohonan dibuat pada pukul 6 petang, melibatkan jumlah tangkapan yang ramai. Peguam sahaja seramai 14 orang. Proses berlangsung tiga jam setengah sehingga malam baru selesai reman. Bila tidak dapat reman, kita perlu buat profiling dan memanggil penjamin. Itu yang berlaku.” jelas beliau selepas merasmikan Program Merentasi Cabaran, Memacu Kesejahteraan Siri 3 bertemakan Unity for Safety di ibu negara.
Datuk Fadil menegaskan tindakan polis adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tidak boleh dipercepatkan tanpa melalui proses pemprofilan yang wajib dilaksanakan.
Beliau turut menolak dakwaan wujud layanan berbeza terhadap tahanan, sambil menegaskan semua prosedur dilaksanakan secara seragam mengikut undang-undang.
Mengenai tuduhan polis mendedahkan identiti tahanan, Datuk Fadil menegaskan siasatan adalah bersifat sulit, dan kenyataan rasmi hanya mengandungi fakta umum tanpa perincian individu.
PDRM kini di peringkat mengumpul maklumat dan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Jumaat lalu, serbuan PDRM di sebuah kelab kesihatan di kawasan Chow Kit membawa kepada penahanan 208 individu, termasuk 17 penjawat awam, yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Premis dua tingkat itu dipercayai beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lalu.
Sejak serbuan itu, pelbagai dakwaan timbul termasuk tuduhan salah guna kuasa oleh pihak polis.