Pegawai AKPS direman empat hari disyaki terlibat ‘Pasport Terbang’

JOHOR BAHRU, 8 Disember – Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) direman empat hari bermula semalam selepas disyaki terlibat dalam kegiatan ‘Pasport Terbang’ di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika pegawai terbabit diperiksa Unit Integriti AKPS di Kaunter MyBorderPass semasa menjalankan pemantauan.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan mendapati pegawai lelaki berusia 32 tahun itu gagal mematuhi Arahan Pentadbiran No. 01/2024 yang menetapkan prosedur membawa, menyimpan dan menggunakan peranti telekomunikasi semasa bertugas.

“Suspek didapati membawa dua telefon bimbit dan gagal menyerahkannya kepada penyelia sebelum memulakan tugasan.

“Siasatan lanjut turut menemui lapan pasport warga asing iaitu enam milik rakyat China, masing-masing satu dari Indonesia dan Vietnam, disimpan dalam beg hitam di kompartmen motosikal pegawai berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.

Semua barangan dirampas dan pegawai itu kini disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Hey there! Ask me anything!