Penipuan e-pembelian di Pulau Pinang meningkat, belia dan dewasa paling mudah terpedaya

GEORGE TOWN, 17 Disember – Kes penipuan pembelian dalam talian di Pulau Pinang terus menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 725 kes direkodkan sepanjang tahun ini sehingga 7 Disember lepas, dengan jumlah kerugian mencecah RM6.4 juta.

Jumlah itu meningkat berbanding 476 kes yang direkodkan pada tahun 2024.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), Superintenden K. Balachandran berkata, golongan belia dan dewasa berumur 18 hingga 45 tahun paling banyak terpedaya dengan taktik penipuan terbabit.

“Bagi kes-kes jenayah komersial di Pulau Pinang, kategori tertinggi melibatkan penipuan e-pembelian. Ini kerana masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, bermula 18 tahun hingga warga emas, kini menggunakan platform dalam talian untuk membuat pembelian.

“Keadaan ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya mangsa secara dalam talian. Walaupun jumlah kerugian bagi setiap kes tidak terlalu tinggi, sekitar RM1,000 hingga RM2,000, namun jumlah kes yang banyak menyebabkan kerugian keseluruhan menjadi besar,” katanya selepas menjadi tetamu di konti MUTIARAfm, Jalan Burmah dalam slot Bicara Prisma.

Jelasnya, kebanyakannya kes melibatkan urusan jual beli melalui platform media seperti Facebook, WhatApps dan Tiktok.

Sepanjang tiga tahun, Pulau Pinang merekodkan 2,088 kes membabitkan penipuan pembelian dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM26.12 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.