Polis serius atasi peningkatan kes rogol, sumbang mahram bawah umur

KUALA NERUS, 22 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan mangsa bawah umur.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, di Terengganu sebanyak 60 kes rogol dan 10 sumbangan mahram dicatat membabitkan mangsa bawah umur sehingga September lalu.

Katanya, ia merupakan masalah berulang yang membimbangkan masyarakat dan menjadi cabaran besar dalam usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan golongan remaja.

“Mungkin melibatkan pengaruh media sosial juga, banyak benda yang tidak patut ada di media sosial, mereka boleh tengok.

“Contohnya kalau google boleh akses, sebab dia merangsang ke arah melakukan jenayah yang tidak baik”, katanya selepas Program Keselamatan Jalan Raya Pusat Pengajian Tinggi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, siasatan mendapati terdapat beberapa kes berlaku atas dasar suka sama suka, namun undang-undang tetap menganggap ia satu kesalahan jenayah kerana melibatkan individu bawah umur.

Katanya, Polis Terengganu akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan serta siasatan menyeluruh.

 

Hey there! Ask me anything!