KENINGAU, 8 Disember – Seorang remaja maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika sedang bermain bersama rakannya di sini pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa dan suspek, kedua-duanya berusia 14 tahun sedang bermain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor.
Ketika sedang bermain-main, suspek secara tidak sengaja melepaskan tembakan yang mengakibatkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
Suspek yang panik kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Menurutnya, penduduk kampung kemudian membawa mangsa, Eriwan Lindak ke Hospital Keningau.
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan sekitar pukul 8.40 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.