Serang Sultan Perak: Wanita kemuka representasi gugur pertuduhan

IPOH, 8 Disember – Seorang wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ogos lepas, akan memfailkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Peguam Zulzarif Zakuan yang mewakili tertuduh Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41 tahun, mengesahkan perkara itu selepas sebutan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, dihadapan Majistret Harith Mazlan.

“Kita akan kemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon satu jalan penyelesaian yang lebih baik kerana kes ini bersifat ‘high profile’ melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan,” kata peguam di luar perkarangan mahkamah hari ini.

Mahkamah menetapkan 12 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Majistret di sini menolak pengakuan bersalah Nurhaswani yang cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ogos lepas.

Keputusan dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta menyatakan bahawa Nurhaswani menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Nazrin.

Nurhaswani Afni didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos lepas.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin serta diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat Ipoh sebulan sekali pada setiap Isnin.

Hey there! Ask me anything!