PETALING JAYA, 5 Disember – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di Selangor dan Perak.
Serbuan berjaya merampas dadah jenis syabu dan ketamin serta menyita enam kenderaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM13.9 juta.
Pengarah JSJN , Datuk Hussien Omar Khan berkata, turut ditahan enam suspek termasuk seorang bekas anggota polis berusia lingkungan 26 hingga 46 tahun.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya dan berjaya menahan lima suspek.
“Hasil pemeriksaan menemukan 17 guni seberat 270 kilogram berisi 263 bungkusan plastik dipercayai dadah jenis syabu dan ketamin dengan nilai pasaran berjumlah RM13.8 juta,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Manakala, seorang lagi suspek diberkas dalam serbuan kedua di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Pulai.
“Kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan direman selama tujuh hari.
“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut Datuk Hussien, serbuan dan rampasan tersebut hasil risikan berterusan JSJN dan kerjasama daripada orang awam.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah menerusi HOTLINE JSJN di talian 012-208 7222.