SAUDARA PENGARANG
Adab adalah sikap, perilaku, komunikasi dan tatacara yang mencerminkan akhlak dalam hubungan dengan Allah juga sesama manusia. Manakala Pendidikan pula adalah suatu proses yang terancang untuk membimbing, mengajar, dan mengembangkan potensi insan, baik jasmani mahupun rohani, agar menjadi peribadi yang berilmu, berakhlak, dan bertanggung jawab.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1980) menegaskan bahawa pendidikan merupakan proses penerapan adab ke dalam diri seseorang. Menurut perspektif Islam, pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang berakhlak, berilmu dan beradab.
Malah, Ibn Khaldun (w.808H/1406M) berpendapat bahawa pendidikan dan pengajaran adalah aktiviti yang merangkumi ilmu dan akhlak. Dengan kata lain, pendidikan bukan hanya aktiviti yang tertumpu kepada memperolehi pengetahuan (aspek kognitif) tetapi juga aktiviti pembentukan dan pembinaan akhlak (aspek afektif dan psikomotor).
Dalam dunia yang semakin moden, pendidikan formal sering kali di lihat sebagai asas utama kejayaan individu. Namun, dalam kegigihan kita mengejar kecemerlangan akademik, kita sering kali lupa akan pentingnya pendidikan yang lebih halus iaitu pendidikan adab dan akhlak.
Mendidik pelajar untuk beradab bukan sahaja menyentuh soal kelakuan luaran, tetapi juga membentuk karakter, etika, dan moral yang akan menjadi panduan hidup mereka sepanjang hayat.
Generasi muda khasnya sangat terdedah pada dunia tanpa sempadan, penggunaan gajet dan akses terhadap media sosial dan segala saluran sama ada pendidikan mahu pun hiburan juga cabang-cabang lain yang segalanya adalah secara dalam talian.
Remaja kini hidup dalam era digital yang berkembang pesat dengan perubahan teknologi, sosial, dan budaya yang mempengaruhi cara berfikir, berinteraksi serta pembentukan sahsiah sehingga cara menentukan masa depan mereka.
Cabaran Adab dalam Pendidikan
Merosotnya rasa hormat, hubungan guru dan pelajar yang kian longgar batasannya dan tumpuan berlebihan kepada pencapaian akademik berbanding pembentukan akhlak menjadi cabaran yang wajar diperhalusi.
Kurang rasa hormat sesama individu umpama bara dalam sekam. Sedikit demi sedikit bakal menghapuskan keseluruhan struktur masyarakat asal yang sangat mempertahankan tentang adab sopan dalam kehidupan. Masalah ikhtilat dipandang remeh dan kejayaan duniawi mengatasi objektif sebenar kehidupan akhirat.
Adab dalam suasana pembelajaran seharusnya turut dititik beratkan dengan menjaga adab dalam perbincangan, meraikan perbezaan pendapat, penggunaan bahasa sopan yang berhemah, pemilihan kata yang bersesuaian dalam percakapan dan menghormati masa serta peraturan.
Isu utama ialah kurang hormat terhadap ibu bapa dan guru. Remaja semakin berani membantah, bercakap kasar, tidak mematuhi arahan, serta memandang ringan nasihat orang dewasa.
Pengaruh media sosial dan teknologi yang menyajikan kandungan negatif, bahasa kesat, budaya tular, dan sikap mengejar populariti menyebabkan remaja meniru tingkah laku tidak beradab tanpa menilai baik buruknya.
Bahasa dan komunikasi yang tidak sopan dengan penggunaan kata-kata kesat, sindiran dan ejekan dalam perbualan harian serta di alam maya pula semakin dianggap normal.
Kurang disiplin dan tanggungjawab seperti masalah ponteng sekolah, lewat hadir ke kelas, tidak menyiapkan tugasan, dan melanggar peraturan sekolah. Pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk diterima dalam kumpulan mendorong remaja meniru tingkah laku negatif walaupun bercanggah dengan nilai adab.
Kurangnya pendidikan adab dan akhlak di rumah kerana kesibukan ibu bapa dan kurangnya teladan yang baik menyebabkan remaja tidak dibimbing secara konsisten. Normalisasi tingkah laku biadab seperti membuli, mengejek, bercakap kasar, dan melawan harus dipulihkan.
Menangani Masalah Adab Dalam Pendidikan
Pelajar merupakan golongan yang sangat memerlukan bimbingan. Mereka haruslah sentiasa menghormati guru dari segi tutur kata, sikap, dan tingkah laku dan ikhlas dalam menuntut ilmu, bukan semata-mata untuk kedudukan atau pujian.
Selain itu mereka juga haru mengamalkan disiplin yang tinggi dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, merendah diri, tidak sombong dengan ilmu yang dimiliki serta mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Antara usaha-usaha yang perlu dilaksanakan ialah:
1. Peranan ibu bapa sebagai teladan
Ibu bapa perlu menunjukkan contoh adab yang baik seperti bertutur sopan, menghormati orang lain, dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian kerana remaja belajar melalui pemerhatian.
2. Peranan guru sebagai pendidik dan pembimbing
Guru atau pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah pelajar melalui nasihat, teguran berhemah, dan hubungan yang penuh hikmah.
3. Kawalan dan bimbingan penggunaan media sosial
Remaja perlu dididik tentang etika digital, penggunaan teknologi secara beradab, serta kesan negatif kandungan tidak bermoral.
4. Pengaruh rakan sebaya yang positif
Galakan untuk memilih rakan yang berakhlak baik serta penglibatan dalam aktiviti sihat seperti sukarelawan, sukan, dan program kerohanian.
5. Penghayatan nilai agama dan moral
Pendedahan kepada pendidikan agama, pengisian kerohanian, dan penghayatan nilai murni dapat membentuk jiwa yang berakhlak dan berdisiplin.
Ibu bapa – peranan kita menunjuk contoh teladan, sabar & hormat. Para pendidik – kita menjadi suri teladan di sekolah mahupun di Insitusi Pengajian Tinggi. Kita akan menjadi cermin tingkah laku fizikal dan adab mereka!
Usaha meningkatkan adab dalam kalangan remaja memerlukan pendekatan bersepadu dan berterusan. Namun dengan kerjasama semua pihak, remaja dapat dibentuk menjadi generasi berilmu, beradab, dan berakhlak mulia.
Kemerosotan adab dalam kalangan remaja akan menjadi isu serius yang berterusan sehingga membawa kesan langsung terhadap kualiti pendidikan, pembentukan sahsiah, keharmonian masyarakat, dan masa depan negara jika diabaikan. Oleh itu, peranan keluarga, institusi pendidikan, dan masyarakat amat penting dalam mendidik dan memulihkan adab serta akhlak remaja.
Justeru, usaha meningkatkan adab dalam kalangan remaja masa kini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan dengan penglibatan keluarga, sekolah, institusi pendidikan, masyarakat, dengan komitmen dan kesedaran remaja itu sendiri.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Norfaizuryana Zainal Abidin
Pensyarah Multimedia Kreatif
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran
Universiti Islam Selangor
e-mel: norfaizuryana@uis.edu.my