Bahasa di hujung jari: Cerminan maruah bangsa

SAUDARA PENGARANG

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cerminan nilai, budaya dan maruah bangsa. Dalam era digital masa kini, media sosial menjadi ruang utama interaksi masyarakat.

Dalam arus dunia digital yang bergerak pantas, bahasa menjadi nadi utama setiap bentuk komunikasi manusia. Perubahan cara kita berinteraksi menandakan bahawa bahasa kini tidak lagi terikat pada ruang fizikal, tetapi mengalir di hujung jari setiap individu.

Pelbagai platform dunia digital hari ini daripada mesej ringkas di WhatsApp hingga ke perbincangan hangat di platform seperti X (Twitter), TikTok dan Facebook. Namun, kebebasan bersuara sering disalah guna sehingga melahirkan budaya bahasa yang kasar, menghina dan tidak sopan.

Bahasa yang dahulunya dijaga dengan nilai hormat, kini mudah dicemari oleh kata-kata kesat, sarkastik dan sindiran tajam. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar; adakah kita sedang menggadaikan maruah bangsa melalui bahasa yang kita gunakan?

Bahasa Identiti dan Maruah Bangsa

Bahasa sopan melambangkan bangsa yang beradab. Kesantunan bahasa Melayu misalnya, telah lama menjadi simbol kehalusan budaya Nusantara. Kesopanan dalam berbahasa mencerminkan nilai murni yang diwarisi turun-temurun.

Apabila bahasa digunakan secara biadab, ia bukan sahaja mencemarkan imej individu, tetapi juga menjejaskan cerminan budaya tradisi bangsa yang diwarisi sejak berkurun lamanya.

Penggunaan kata-kata kesat dalam komen terhadap pemimpin atau selebriti di Facebook dan TikTok yang tular, menunjukkan betapa mudahnya maruah bangsa dipandang rendah akibat bahasa yang tidak terkawal.

Media Sosial: Ruang Interaksi Tanpa Sempadan

Media sosial memberi peluang rakyat berkomunikasi secara terbuka tanpa batasan. Keterbukaan ini memberi kebebasan netizen untuk megemukakan apa sahaja yang terlintas dalam hati dan fikiran mereka.

Ruang interaksi tanpa sempadan ini menjadikan kebebasan bersuara semakin berani kerana mereka dapat berlindung di sebalik identiti tersembunyi yang digunakan dalam akaun media sosial. Namun, sifat anonimiti, iaitu keadaan yang menyembunyikan identiti sebenar seseorang ini mendorong sesetengah pengguna menjadi “keyboard warrior” yang lantang menghina tanpa rasa bersalah.

Fenomena ini menunjukkan bahawa media sosial boleh meruntuhkan nilai kesopanan bahasa jika tidak dikawal. Ia boleh menjadi budaya yang semakin membarah, di mana kritikan dan hujatan dilontarkan tanpa memikirkan kesan terhadap maruah orang lain.

Banyak contoh kes terutama dalam kalangan artis tempatan yang menerima kecaman melampau di media sosial kerana pelbagai isu semasa, sehingga menjejaskan imej peribadi malah mencetuskan perbalahan antara netizen.

Implikasi Bahasa Tidak Sopan

Bahasa kasar atau tidak sopan mendatangkan pelbagai implikasi dalam pelbagai aspek. Implikasi yang amat jelas menjejaskan keharmonian masyarakat. Bahasa kasar mencetuskan konflik dan menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama, sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat.

Contoh paling ketara apabila menggunakan label “type M, type K atau type C” boleh membangkitkan isu perkauman walau tanpa niat.

Implikasi seterusnya dapat mengikis nilai hormat-menghormati antara generasi. Generasi muda mula menganggap bahasa biadab sebagai norma kebahasaan dalam perbualan harian tanpa mengira dengan siapa dan konteks bagaimana mereka berkomunikasi.

Lebih membimbangkan, imej negara boleh tercalar apabila komen tidak sopan rakyat Malaysia mendapat perhatian media luar. Dalam konteks antarabangsa, keadaan ini mengakibatkan tahap kepercayaan terhadap masyarakat Malaysia sebagai bangsa yang beradab menurun.

Tanggungjawab Kolektif Memelihara Kesopanan Bahasa

Tanggungjawab untuk memelihara kesopanan bahasa perlu digalas serta melibatkan penglibatan pelbagai pihak. Pertama sekali, ibu bapa semestinya perlu menjadi guru utama yang mencorakkan kesopanan bahasa anak-anak bermula dari rumah. Peranan ibu bapalah yang membimbing anak-anak berbahasa sopan sejak kecil. Kita juga bersetuju bahawa pendidikan bermula dari rumah.

Kedua, pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu menekankan etika komunikasi sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Para pendidik harus menekankan dalam pengajaran agar pelajar sedar kesan menggunakan bahasa kasar.

Ketiga, pihak berkepentingan dalam penguatkuasaan undang-undang siber perlu diperkasa untuk mengekang penyalahgunaan bahasa yang melampau. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah beberapa kali mengambil tindakan terhadap pengguna media sosial yang melontarkan kata-kata kesat, dan ini membuktikan penguatkuasaan undang-undang siber adalah amat penting.

Tanggungjawab terakhir adalah kembali kepada kesedaran setiap individu itu sendiri. Setiap pengguna media sosial harus sedar bahawa bahasa yang digunakan mencerminkan maruah diri dan bangsa.

Kesopanan bahasa bukan sekadar soal tatabahasa atau gaya komunikasi, tetapi apa yang lebih penting adalah soal maruah bangsa. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, setiap kata-kata yang ditulis di media sosial menjadi cerminan siapa kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama memelihara kesantunan bahasa agar maruah bangsa terus terpelihara dan dihormati.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR ZURINA ABDULLAH
Dr. Zurina Abdullah
Pensyarah
Jabatan Pengajian Sosial dan Kemanusiaan
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: zurinaabdullah@uis.edu.my

Hey there! Ask me anything!